10.1.13

terkejut?

Assalamualaikum.

Sedang aku berada di perpustakaan bersama beberapa kawan baru ku yang berbangsa Scottish. Mereka mengajak aku ke untuk makan dan bertanya kan pendapat aku tentang di manakah tempat makan yang menarik perhatian aku dan aku selalu pergi. Aku berfikiran sejenak dan terfikir sebuah kedai halal Jepun di bandar,lebih kurang 15 minit berjalan kaki ke sana. Mula-mula aku segan untuk memberi pandangan aku kerana aku bimbang mereka tidak suka makan makanan Jepun tapi aku beranikan diri aku dan curahkan idea aku.Mereka lantas menjawab okay, semudah itu mereka menerima pendapat aku.

Jadi kami pun ke restoran itu untuk makan. Kelihatan mereka seperti tidak sabar-sabar untuk sampai di sana disebabkan kami sangat kelaparan ketika itu. Sesampainya di sana, pelayan restoran itu terus membawa kami ke arah satu meja kosong dan memberi menu kepada kami. Kami mula melihat juadah-juadah yang disediakan di situ. Harganya bagi aku agak mahal tapi dek kerana perut kelaparan, aku telah memilih chicken noodles dan espresso sebgai menu pilihan aku. Sungguh tidak aku sangka, dalam kalangan kawan aku, ada yang memang mengetahui semua jenis makanan di situ sedangkan aku tidak mengetahui semua jenis menu di situ. Macam-macam yang mereka pilih dan order.

Sesudah selesai order, mereka mula berbual, seperti biasa, aku hanya mendengar dan kadang-kadang aku ada juga menyampuk. Kadang-kadang aku tidak faham apa yang mereka bualkan kerana mungkin aku tidak lagi fasih dengan cara mereka bergurau. Tapi aku sedang belajar, belajar untuk menyesuaikan diri dengan budaya dan cara mereka. Banyak perkara yang kami bualkan, terutamanya berkaitan peperiksaan yang akan berlangsung pada 15 Januari ini.

Kelihatan pelayan restoran itu membawa juadah kami. Seperti kebiasaan sebuah restoran jepun, sudu dan garfu tidak disediakan, yang disediakan hanya dua batang kayu dikenali chopstick. Di sini lah, aku rasa mula segan dengan diri ku, pada kebiasaannya, disebabkan aku tidak pandai menggunakan chopstick, aku akan minta sudu daripada pelayan mana-mana restoran jepun yang aku kunjungi. Tapi tidak mereka, walaupun tidak pandai menggunakan chopstick, mereka tidak meminta sudu dan garfu dari pelayan restoran tersebut, mereka berusaha untuk belajar, walaupun mula-mula kelihatan susah bagi mereka tapi setelah sekian lama mencuba, mereka mula biasa menggunakan chopstick. Aku yang tidak mahu kalah, juga berbuat demikian, alhamdulillah aku berjaya makan seluruh makanan aku menggunakan chopstick buat kali pertama. Aku sangat-sangat respect mereka.

Ketika makan tersebut, aku membuka bicara, aku berkata di Malaysia kami makan hanya dengan menggunakan tangan kanan kami. Mereka seperti tidak percaya dan bertanya kepada aku kenapa? Aku menceritakan kepada mereka, itu adalah adat kami dan agama kami menganjurkan kami makan dengan tangan. Aku juga memberitahu kepada mereka, melalui satu kajian juga, ada sejenis enzyme yang sangat bagus untuk badan kita di jari-jari kita. Mereka mula terpegun dan katanya cuba mahu makan dengan tangan pada masa hadapan.

Setelah kekenyangan dan selesai, pelayan restoran tersebut datang membawa bil untuk makanan kami. Aku lihat di situ hampir GBP60 termasuk beberapa service charge yang dikenakan restoran itu. Dalam fikiran aku, mahal betul charge yang mereka kenakan. Tapi aku sangat terkejut bila dengar mereka berbicara, mereka bertanyakan satu sama lain, berapa tips yang kita mahu bagi kepada restoran ini? Alangkah pelik dan terkejutnya aku, sangat lah baik mereka semua ni. Aku sangat malu dengan diri aku lantas aku mengeluarkan duit yang lebih untuk juga menyumbangkan tips kepada restoran itu.

Konklusinya, aku mahu menyatakan di sini, banyak perkara yang aku telah belajar dari cara hidup dan budaya mereka. Aku selalu skeptik dengan mereka disebabkan budaya mereka yang juga suka mabuk tapi aku tidak pernah nampak di sudut yang lebih positif. Hari ini, aku mula sedar bahawa banyak perkara baik yang aku boleh belajar dari mereka, jauhi perkara yang buruk, contohi perkara yang positif. Aku juga berharap, satu hari nanti mereka akan diberikan hidayah untuk memeluk agama Mu. Akan aku cuba sedaya upaya untuk menyebarkan dakwah tentang Islam kepada mereka. Moga-moga aku diberi peluang, inshaAllah.

Till then. Terima kasih kerana sudi baca.

No comments:

Post a Comment